Tuesday, September 1, 2009

MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN

SEJAK akhir ini ada kecenderungan oleh pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan Melayu juga asalnya pendatang yang datang ke negara ini. Hakikatnya banyak pihak melupakan sejarah yang mencatatkan pengorbanan orang Melayu memberi kerakyatan kepada bukan Melayu semasa mencapai kemerdekaan.
Negara ini perlu dikenali dalam Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan nama Malaysia. Malaysia ini asalnya dari perkataan Malaya. Malaya itu mengikut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dahulu adalah Persekutuan Tanah Melayu. Sepatutnya ia habis di situ. Oleh itu negara ini dikenali dunia sebagai Tanah Melayu dan tidak disebut sebagai Persekutuan Tanah Melayu.
Nama Malaysia adalah termasuk Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Itu istilah sebenar mengikut Perlembagaan. Tidak timbul masalah apabila disebut Semenanjung, Sabah dan Sarawak walaupun dilihat sebagai berbeza kerana sebagai sebuah negara ia akan tetap disebut Malaysia. Contohnya Orang Asli hanya terdapat di Semenanjung seperti orang Senoi, Jakun dan Negrito. Orang Asli adalah aborigin bagi Semenanjung. Di Sabah dan Sarawak tidak ada Orang Asli. Ini hakikatnya. Penduduk di Sabah dan Sarawak dipanggil native (bumiputera). Orang Melayu juga bukan Orang Asli. Orang Melayu juga native (bumiputera). Kita sama dengan orang Sabah dan Sarawak dalam konteks kita adalah native di Semenanjung dan setaraf dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Mereka inilah yang datang selepas Orang Asli. Native ini jugalah yang diistilahkan indigenous people. Orang yang datang kemudian dipanggil imigran. Semua 28 suku kaum di Sabah dan Sarawak termasuklah Iban, Penan, Dayak dan sebagainya native.
Dahulu native ini dikenali sebagai anak negeri namun kini ia dikenali sebagai bumiputera.
Ada dua perbezaan yang besar antara aborigin dan indigenous . Aborigin adalah penduduk asli negara ini dan indigenous paling sesuai untuk ditafsir ialah peribumi dan mereka ini dilihat bersesuaian dengan keadaan dan sekeliling mereka. Oleh itu adalah jelas orang Melayu dan native di Sabah dan Sarawak adalah sama sebagai peribumi. Maka bumiputera itu adalah terjemahan kepada native. Oleh itu jangan kata orang yang lahir di situ adalah bumiputera tetapi sebenarnya tidak. Begitu juga orang Cina dan India yang lahir di sini, mereka bukan bumiputera. Ini kerana bumiputera bukan sahaja lahir di sini tetapi keadaan hidupnya adalah bersesuaian dengan keadaan sekelilingnya.
Menurut Perlembagaan, bangsa Malaysia terdiri daripada lima kaum. Maka bangsa Melayu itu diturun taraf kepada kaum. Namun kaum Melayu adalah teras di negara ini dan kita ajak kaum lain untuk bekerjasama sebagai bangsa Malaysia. Lima kaum itu terdiri daripada, pertama Orang Asli, kedua orang Melayu, ketiga kaum bumiputera Sarawak, keempat kaum bumiputera Sabah dan kelima adalah kaum-kaum lain. Apabila menurunkan taraf orang Melayu kepada kaum, orang Cina dan India juga diturunkan taraf kepada “kaum-kaum lain”. Saya bercakap mengikut Perlembagaan dan jika kita menganggap teras negara ini terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India, itu adalah salah. Di mana definasi Cina dan India di dalam Perlembagaan? Dalam Perlembagaan ada disebut orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak. Macam mana hendak definisikan Cina dan India di negara ini jika sudah terdapat negara asal mereka dan keturunan mereka di sana. Oleh itu maknanya mereka ini bangsa Malaysia yang ada hubung kaitnya dengan soal bahasa, budaya, keturunan dan sebagainya dengan negara asal mereka. Sama ada mereka hendak terima atau tidak, itu adalah hakikatnya. Orang Melayu pun jatuh nombor dua dan bumiputera di tempat ketiga. Ini berlaku kerana dari segi sejarahnya Orang Asli ini lebih dahulu sampai, lepas orang Melayu barulah kaum-kaum lain sampai ke negara ini. (rujuk Mingguan Malaysia Ahad 23 Ogos 2009)